Telefon bimbit pelajar meletup : Kerajaan perlu ganti yang lebih kualiti

0
1

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menggesa pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap insiden telefon pintar sumbangan kerajaan yang meletup.

Menurutnya, sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas dan tindakan berhubung aduan masalah telefon bimbit yang disumbangkan kepada pelajar untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Katanya, tindakan menarik balik telefon bimbit yang diedarkan harus dilakukan segera bagi tujuan keselamatan pelajar.

“Paling tidak, tarik semula telefon ni dan ganti yang lebih berkualiti! Kenapa lembap sangat nak bertindak?

“Ini bukan kali pertama hal ini berlaku dan saya percaya banyak lagi insiden serupa akan berlaku jika kerajaan tak cepat-cepat buat sesuatu.

“Inilah masalahnya apabila kerajaan bersikap terlalu prejudis dengan pelajar, dan tidak mahu beri telefon berkualiti kononnya pelajar akan main game.

“Telefon meletup, nak belajar online pakai apa sekarang ni?,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dalam hantaran sama, Syed Saddiq memuat naik tangkap layar seorang pengguna Facebook yang mengadu telefon bimbit jenama YES yang diterima anaknya meletup walaupun baru dua bulan digunakan.

Sebelum ini media melaporkan terdapat beberapa insiden telefon percuma daripada inisiatif Jaringan Prihatin telah meletup sewaktu digunakan untuk PdPR.

Seperti yang dilaporkan, telefon bimbiit jenama YES miliki spesifikasi yang boleh dipersoal daripada segi kemampuannya mendukung tugasan PdPR sekalipun.

Namun, pemilihan telefon jenama tersebut dikatakan bagi mengelakkan pelajar menyalahgunakannya untuk bermain permainan video. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here