PELAKON Zara Zya, 35, meluahkan rasa sedih selepas dikatakan mengambil kesempatan menyeleweng bantuan yang dihulurkan orang ramai untuk membantu golongan susah.
Zara atau nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata dia tidak memahami mengapa dirinya terus menerus dituduh makan duit haram sedangkan berniat melakukan kebaikan menerusi kerja-kerja kebajikan.
Tidak cukup dengan itu, setiap perkongsiannya berhubung kerja-kerja kebajikan pasti akan mengundang kecaman negatif dan dikatakan menunjuk-nunjuk daripada netizen.
“Saya kecil hati, saya kecewa sebab apa yang saya tahu saya buat kerana ikhlas. Saya memang suka tolong orang. Saya suka kongsi rezeki dengan orang. Dari dekat sekolah sampailah sekarang.
“Jadi sampailah sekarang saya gunakan nama saya Zara Zya untuk ajak orang ramai sama-sama buat kebaikan dan kebajikan. Saya nak bantu lebih ramai orang. Duit saya sendiri tak cukup untuk semua orang.
“Bila saya buka laman web Malaysiaprihatin, orang tuduh saya macam-macam. Makan duit haramlah, ambil hak dan rezeki orang lainlah,” katanya dalam video yang dimuat naik di Instagram.
Pada masa sama, pelakon siri ‘Pia’ itu juga tidak faham dengan segelintir penyumbang dalam web berkenaan yang meragui ketelusan pengagihan wang bantuan yang telah diberikan.
“Mereka bagi sumbangan akan dapat resit. Saya tahu laman web itu baru dibuka. Demi Allah sumbangan itu bukan untuk saya tetapi untuk orang lain. Kalau boleh keluar jauh saya mahu jumpa lebih ramai orang tetapi keadaan yang tak mengizinkan, sekarang masih Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Saya dah buat macam-macam tapi orang tetap tak nak support (sokong) saya. Kenapa? Bukan senang saya nak buat laman web tersebut.
“Bukan senang juga saya nak dapat dan kumpulkan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang saya ada hingga kini,” katanya lagi.
Sementara itu, pelakon kelahiran Lenggong, Perak itu juga meminta orang ramai terus menyokong dan mendoakannya selain menyifatkan dugaan yang diterima sebagai asbab untuk dia terus melakukan kebaikan.
Terdahulu, Zara atas inisiatif modal simpanannya sendiri mengambil inisiatif menubuhkan sebuah laman web, www.malaysiaprihatin.com bertujuan menyediakan platform sah dan telus untuk mana-mana pihak yang memerlukan dan berminat untuk menyalurkan sumbangan. – Malaysiapost

