BERAT bahu memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak dapat dibayangkan bagaimana luluh hati seorang guru tadika yang kehilangan enam ahli keluarga dalam tempoh 15 hari akibat Covid-19.
Pengalaman pedih itu dilalui Farah Adilah Samsudin yang kehilangan ibu bapa, adik serta dua ibu saudara serta seorang bapa saudaranya selepas 13 ahli keluarga terdekatnya dijangkiti wabak tersebut.
“Memang tidak pernah dibayangkan apabila sepupu yang menjadi individu pertama disahkan positif hanya batuk biasa sebelum ke klinik bagi mendapatkan sijil sakit berikutan beliau bekerja dari rumah.
“Di klinik, jururawat mengesyorkan sepupu dan ibunya menjalani saringan berikutan Gombak Setia berada di zon merah.
“Hasil ujian itu dia positif, ibunya negatif,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Farah Adilah berkongsi cerita sedih itu dalam forum ‘Bicara Kebajikan, Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul’ kendalian Sekretariat Tabung Bencana Covid PAS Pusat, malam tadi.
Ibu kepada anak itu berkata ibunya, Azizah Mohd Yusoff meninggal dunia pada 15 Jun lalu selepas bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB) sejak 2 Jun.
Selepas, ceritanya lagi, ibu saudara, Normah Mohd Yusoff dan adik, Farah Nadiyah meninggal dunia pada 23 Jun disusuli bapanya, Shamsudin Abdullah pada 27 Jun.
Ibu dan bapa saudara, Hasmah Mohd Yusoff dan Abd Razak Noor masing-masing meninggal dunia pada 30 Jun.
Farah Adilah berkata beberapa hari ibunya dirawat di ICU, mereka diberitahu ibu akan ditidurkan, disusuli adik untuk dilakukan perkara sama.
beliau berharap orang ramai mendoakan kesejahteraan keluarganya dan memohon mereka diberi kekuatan menerima takdir yang Allah telah tentukan.
“Tiada daya bagi kami kini selain berserah pada Allah. Kami mohon beri ruang untuk kami bertenang dan meredakan emosi kami, kami berserah sepenuhnya pada Allah yang maha mengatur segala-galanya,” katanya. – Malaysiapost

