Anjung Tinjau KLIA jadi PPV pekerja pengangkutan udara

0
2

ANJUNG Tinjau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), iaitu yang pertama melibatkan sektor pengangkutan udara yang bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata melalui program itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bekerjasama dengan beberapa syarikat industri penerbangan bagi memvaksinasi pekerja pengangkutan udara.

Katanya, kerjasama itu melibatkan Malaysia Airlines Berhad, Malindo, syarikat pengendalian darat AeroDarat, syarikat penerbangan asing yang diwakili Airline Operators Committee (AOC) dan pekerja kargo yang diselaraskan Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM).

“Program vaksinasi ini dilaksanakan sehingga 24 September 2021 di Anjung Tinjau, Terminal 1, KLIA dari 8 pagi hingga 6 petang, hari Isnin hingga Jumaat.

“PPV Industri (PPVIN) KLIA ini bertujuan memudahkan dan mempercepatkan program vaksinasi 22,243 pekerja sektor penerbangan serta yang berkaitan di KLIA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata, bagi sektor pengangkutan darat yang melibatkan pengangkutan awam darat, beberapa PPV akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas diberikan vaksinasi dalam masa terdekat.

Di samping itu, katanya, MOT bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang menyelaras program vaksinasi kepada pemandu teksi dan e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan (p-hailing).

Katanya, ia melibatkan 355,064 orang di seluruh negara dan program itu akan dilaksanakan di bawah PPV Awam yang mana kerajaan akan menanggung keseluruhan kos. – Malaysiapost

Foto Kredit: Oh My Media!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here