Guan Eng arah Biro Guaman DAP bela Adun Tras, 18 pekebun durian

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengarahkan Biro Guaman DAP Nasional untuk melakukan pembelaan terhadap wakil rakyat DAP bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tras, Chow Yu Hui.

Yu Hui ditahan polis di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, berkaitan isu penahanan sekumpulan pekebun durian musang king di Raub, Pahang, hari ini.

Guan Eng berkata, Yu Hui telah dibebaskan namun 18 orang pekebun durian masih ditahan.

“DAP juga akan menawarkan bantuan guaman kepada mereka yang ditahan.

“Ini adalah masalah mata pencarian bagi pekebun durian yang menjalankan aktiviti pertanian di kawasan itu selama beberapa dekad dan kerajaan Pahang perlu berusaha menyelesaikan secara baik antara syarikat swasta besar dan pekebun.

“Kerajaan Pahang mendakwa tindakan diambil di kawasan berhampiran dan bukan di dalam kawasan dilindungi oleh penangguhan Mahkamah Rayuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata oleh kerana pekebun durian musang king telah mendapat penangguhan tindakan kerajaan negeri daripada Mahkamah Rayuan, kerajaan negeri harus menghormatinya dengan tidak meneruskan sebarang tindakan sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.

“DAP akan memberi sokongan kepada Yu Hui dan DAP Pahang dalam menyokong hak pekebun durian musang king untuk mencari mata pencarian,” katanya.

Terdahulu 18 individu dipercayai pekebun durian ditahan kerana didakwa menceroboh Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub semalam.

Kesemua mereka juga terbabit dalam memprovokasi pasukan penguatkuasa Jabatan Perhutanan Pahang yang menjalankan operasi di kawasan itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub untuk tindakan lanjut.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam satu kenyataan berkata, mereka didapati memasuki hutan simpan kekal itu tanpa izin dan kelihatan sangat provokatif terhadap kakitangan jabatan itu yang menjalankan operasi penguatkuasaan untuk membersihkan ladang haram.

Sementara itu, Save Musang King Alliance (Samka) dalam satu kenyataan mengatakan 18 pekebun termasuk presidennya Wilson Chang ditahan untuk siasatan semalam.

Kenyataan itu turut mendakwa Yu Hui yang ke balai polis turut ditahan di pada jam 10 malam tadi sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here