PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan terdapat beberapa negeri lagi menunjukkan perkembangan yang amat baik dan berpotensi untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat.
Menurutnya, perincian tersebut diperolehi selepas mempengerusikan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui sidang video dari hospital bagi membincangkan perkembangan situasi pandemik Covid-19 di dalam negara, hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau berharap situasi pandemik di Malaysia dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat akan akan divaksin dalam tempoh terdekat.
“Saya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan badan-badan amal, parti-parti politik, pihak swasta dan orang ramai yang tampil menghulur bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan pada masa ini di samping bantuan-bantuan disampaikan kerajaan.
“Semoga amal jariah anda semua diberikan ganjaran oleh Allah S.W.T,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis telah memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuat kuasa hari ini.
Keputusan tersebut dibuat selepas kelima-lima negeri tersebut mencapai tiga indikator yang ditetapkan kerajaan. – Malaysiapost
Sumber Foto: FB/Muhyiddin Yassin

