Mesyuarat Khas Parlimen mulai 26 Julai

0
2
Jalur gemilang dipasang di sekitar jalan menujuk ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

KERAJAAN bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan sebentar tadi turut memaklumkan bagi Dewan Negara pula akan diadakan selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021.

“Mesyuarat ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

“Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen (shail be laid before both Houses of Parliament),” katanya.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat itu akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Nota Jemaah Menteri telah diedar secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara ini,” kata kenyataan itu.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos ini.

Beliau berkata perkara itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu.

Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Ia bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here