
DESAKAN Umno untuk memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan untuk memanggil Parlimen bersidang bukan keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata keputusan itu dimuktamadkan Biro Politik Umno termasuk Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ketua Sayap dan Pengerusi Perhubungan Umno negeri.
“Kedua, apabila ramai pemimpin kerajaan ketika itu tak faham maksud Titah segera, Umno kena buat definisi apa itu segera. Sebab itu dalam tempoh 14 hari kena keluar notis. Baru mereka faham.
“Ketiga, Umno kena buat definisi ini kerana sistem Demokrasi Berparlimen dan sistem Raja Beperlembagaan adalah hasil perjuangan Umno. Mungkin mereka semua tak faham sebab bukan perjuangan mereka dulu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Umno juga perlu melihat sama ada persidangan Parlimen yang akan diadakan sebelum 1 Ogos ini hanya sekadar melepas batuk di tangga.
“Banyak rakyat nak tahu, bukan sahaja kegagalan mengendalikan Covid walaupun 6 bulan darurat. Juga fasal vaksinasi, ekonomi, pelaburan, pendidikan, pekerjaan dan macam-macam lagi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap masa sesi perbahasan tidak dihadkan serta perlu membuka ruang untuk wakil rakyat mengajukan soalan.
“Di UK bila Parlimen dibuka semula 1 Julai baru ni, PM jenuh nak jawab kenapa tak terus buang Menteri Kesihatannya yang langgar SOP?
“Mungkin di sini soalan yang sama boleh ditanya mengenai Timbalan Speaker ada kendurian dan relaks sahaja. Sebab rakyat banyak yang kena,” katanya.
Pada 21 Jun lalu, Umno berpendirian tegas mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.
Ahmad Zahid dalam kenyataan berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah.
Hari ini, tempoh 14 hari desakan Umno supaya kerajaan memanggil semula sidang Parlimen tamat berdasarkan tarikh kenyataan Ahmad Zahid itu.
Justeru, tumpuan terarah kepada tindakan akan diambil Umno apabila tempoh 14 hari berkenaan tidak direalisasikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memanggil sidang Parlimen. – Malaysiapost
