Hadi Awang, pemimpin PAS pelik – Kadir Jasin

0
3

SEJAK kebelakangan ini tindak-tanduk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan anak buahnya semakin berkecamuk dan boleh disifatkan sebagai pelik.

Kenyataan itu disuarakan wartawan veteran, A Kadir Jasin, yang menyatakan sejak dilantik sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri, prestasi Abdul Hadi langsung tidak cemerlang.

Menurutnya, dalam masa sama tingkah laku pemimpin PAS yang lain langsung tidak membantu sebaliknya memburukkan lagi keadaan.

“Abdul Hadi langsung tidak berperanan dalam krisis terbaru Palestin berikutan pelanggaran Israel ke atas Gaza dan dalam apa-apa juga hal berkaitan perhubungan Malaysia dengan Timur Tengah.

“Hatta dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin ke Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu Mac lalu, dia tidak pun dibawa bersama. Pembela Abdul Hadi aka “walaun” berkata, ini adalah kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga mempersoalkan lantikan Presiden PAS itu sebagai Duta Khas ke Timur Tengah walhal mengetahui keadaan kesihatan Abdul Hadi yang tidak berada baik.

A Kadir berkata, prestasi pemimpin PAS yang dilantik ke jawatan Menteri dan Timbalan Menteri juga lebih melencong ke arah sensasi.

Katanya, terdapat laporan pemimpin PAS yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan yang terkini ada yang dikatakan menghantar pesanan WhatsApp berahi (lucah) kepada isteri ketika sedang bermesyuarat.

“Kesimpulannya manakala Abdul Hadi sedang menderita sindrom kesunyian dan kebimbangan takut hilang jawatan, anak-anak buahnya sedang khayal diracuni kuasa, harta dan glamor. Abdul Hadi sunyi kerana dia tidak diraikan semeriah Menteri-menteri Pas dalam Kerajaan PN dan bimbang kerajaan PN tumbang apabila darurat tamat dan Parlimen kembali bersidang.

“Bagi anak-anak buahnya pula, mereka “bergumbira” dan bersuka ria sementara masa masih ada,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here