SEMUA pihak termasuk swasta perlu membantu kerajaan dalam memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan dan terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata hakikatnya ramai rakyat yang terkesan dan memerlukan bantuan tidak kira bangsa atau agama.
“Terlihat sepasang suami isteri berbangsa Melayu keluar daripada YADIMart menaiki motosikal. Mereka ambil barang dapur percuma. Hakikatnya, ramai yang memerlukan bantuan dan terkesan.
“Saya pesan kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk pastikan harga barang kekal dengan harga mampu milik. Pastikan rak bank makanan Yadim sentiasa penuh.
“Tak lama selepas itu datang pula pasangan suami isteri berbangsa India. Mereka ambil beras, minyak dan susu pekat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, beliau gembira dengan adanya YADIMart, ia dapat membantu golongan yang memerlukan dan semua yang berkunjung ke YADIMart adalah daripada pelbagai agama dan bangsa.
“Saya gembira dapat meringankan beban mereka. Walau apa jua perbezaan, kita tetap keluarga besar rakyat Malaysia,” katanya.
“Perniagaan bukan hanya sekadar mengejar untung tetapi juga keberkatan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut berbincang dengan wakil Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Datuk Raffiq Ariff untuk mengukuhkan kerjasama bagi manfaat rakyat yang memerlukan bantuan.
“Terima kasih F&N kerana sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam membantu kelompok sasar dalam musim pandemik ini.
“Insya-Allah pelbagai inisiatif menarik akan dilaksanakan,” katanya. – Malaysiapost

