Tidak ramai Ahli Parlimen dalam MT Umno bagus untuk parti – Shahrir

0
2
shahrir samad

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan tidak ramai Ahli Parlimen Umno dalam Majlis Tertinggi (MT) adalah baik untuk memperkukuhkan parti itu.

Beliau berkata, ini kerana kepimpinan parti itu sudah ‘dibersihkan’ selepas pemilihan lalu apabila satu per satu pemimpin parti keluar meninggalkan Umno.

Katanya, malah, penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga tidak bertanding pada pemilihan itu kerana kemungkinan umno berada di luar kerajaan.

“Pemilihan Umno yang berlaku ketika Umno dan Barisan Nasional (BN) berada sebagai parti luar kerajaan tentulah tidak semeriah kalau BN itu kerajaan.

“Kalau ada ‘incumbent’ Naib-Presiden yang menyepi diri sampai langsung tidak mempertahankan jawatannya, apa yang hendak merasa terperanjat yang mereka yang sudah terpilih sebagai wakil rakyat juga elakkan diri,” tulisnya dalam hantaran Facebook.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru berkata, beliau menjelaskan perkara itu kerana wujud pertanyaan tersebut menjelang mesyuarat MT yang dijangka berlangsung dalam sehari dua lagi.

Malah, beliau mengakui ia adalah keadaan baharu buat Umno dan pastinya banyak pengalaman berbeza dilalui parti berkenaan.

“Ianya keadaan yang baru untuk Umno dan tentunya banyak pengalaman yang baru dan berbeza.

“Bagus untuk Umno melalui keadaan ini. Dan sedia membuat perubahan untuk kukuhkan parti,” katanya.

Semalam, Shahrir berkata, Umno di semua peringkat sedang memerhatikan perkembangan serta keputusan menteri dan timbalan menterinya sama ada akan menarik diri atau kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, ini termasuk 35 ahli Parlimen daripada parti itu yang masih belum diketahui sama ada akan terus menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau sebaliknya.

Katanya, menteri dan timbalan menteri Umno berada dalam kerajaan PN kerana Perdana Menteri percaya kepada mereka dan begitu juga sebaliknya.

“Jadi bagi mereka, apa ada hal dengan Majlis Tertinggi (MT) Umno. Perdana Menteri dan jemaah menteri lebih besar punca kuasa daripada MT Umno. Akhirnya, engkau YB, ke aku YB? Aku menteri, engkau ada apa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here