Percepat vaksinasi untuk pekerja sektor perbankan – NUBE

0
3
Petugas mencucuk vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

KERAJAAN perlu mempercepatkan suntikan vaksin melibatkan pekerja sektor perbankan dengan segera kerana mereka antara kumpulan barisan hadapan yang terdedah kepada risiko jangkitan dan penularan Covid-19.

Perkara itu dinyatakan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) yang menyuarakan kebimbangan ahli-ahlinya susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata mengambil kira penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur, di samping Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), adalah perlu agar pekerja sektor perbankan, terutama yang berada di bahagian hadapan perkhidmatan diberi keutamaan segera dalam program vaksinasi.

“NUBE terkilan kerana sehingga kini, pekerja perkhidmatan perbankan belum disenaraikan sebagai kumpulan sasaran barisan hadapan dalam mendapatkan suntikan vaksin meskipun beberapa permohonan bagi tujuan tersebut telah dikemukakan kepada agensi terlibat sejak Mac lalu.

“Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) juga telah menulis surat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada pertengahan Mac.

“Kami berharap pekerja perbankan juga diberi keutamaan dan proses vaksinasi akan dipercepatkan supaya kita sama-sama boleh memainkan peranan kritikal dalam meningkatkan kadar kawalan terhadap penularan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Solomon berkata, NUBE menegaskan negara memerlukan langkah holistik pelbagai sudut dalam memerangi penularan Covid-19.

“Selain pematuhan kendiri dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk PKPD dan PPN, pemberian vaksin secara menyeluruh dalam kadar yang cepat amatlah penting bagi mengawal Covid-19.

“NUBE amat berharap kerajaan akan memberi pertimbangan ke atas keperluan ini, sekali gus memastikan setiap pekerja barisan hadapan diberi suntikan vaksin dalam kadar yang segera,” katanya.

Beliau berkata NUBE senantiasa bersedia membantu memobilisasikan pekerja sektor perbankan, termasuk ahli-ahlinya untuk menjayakan sasaran ditetapkan kerajaan dalam program vaksinasi kebangsaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here