Suami lari tinggalkan hutang RM1 juta, ibu tunggal terpaksa pinjam ah long

0
2

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Baitulmal membantu seorang ibu tunggal yang terkesan akibat pandemik Covid-19 bagi melangsaikan hutang sewa rumah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Facebook berkongsi kisah ibu tunggal itu dikenali sebagai Puan Faizah, yang mengharungi onak-duri kehidupan bersama anak-anak.

“Saya membaca emel Puan Faizah dengan penuh teliti. Beliau asalnya hidup bahagia bersama suami dan anak-anak. Keadaan mula berubah apabila suaminya yang merupakan warganegara luar, melarikan diri dengan meninggalkan hutang hampir RM1 juta.

“Beliau menguruskan anak-anaknya seorang diri dengan kudrat yang ada. Alhamdulillah, rahmat dan kasih sayang-Nya tetap ada. Tahun demi tahun berlalu dengan baik. Saya anggap beliau ibu yang amat cekal hatinya.

“Namun panas disangka berlanjutan hingga ke petang, terhenti dengan hujan di tengah hari. Pandemik melanda negara sejak tahun lalu merencatkan sumber pendapatannya. Anak-anaknya yang telah bekerja juga hilang pekerjaan. Seorang lagi masih menuntut di universiti,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, demi kelangsungan hidup, Puan Faizah terpaksa meminjam wang daripada Along namun beliau dapat menyelesaikan hutang terbabit.

Bagaimanapun, katanya, dengan keadaan pandemik yang berlanjutan, mereka buntu kerana tidak dapat mencari punca pendapatan.

“Desakan dan kesempitan hidup memaksanya meminjam dengan ah long (ceti haram). Puan Faizah konsisten membayar hutangnya sehingga selesai. Namun ia tidak mengubah apa-apa kerana pandemik berlarutan, menyukarkan pergerakannya.

“Begitulah secara ringkas luahan beliau dalam emel,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Zulkifli berkata, pihaknya hadir berjumpa Puan Faziah untuk menyelesaikan baki hutang rumahnya serta menawarkan modal perniagaan sesuai untuk wanita tabah itu.

Menurutnya, Baitulmal MAIWP memberikan beliau Skim Bantuan Menyelesaikan Hutang, Skim Bantuan Kecemasan Skim Bantuan Am Pelajaran IPT Dalam Negeri dan Skim Bantuan Perniagaan dan Bimbingan Keusahawanan.

“MAIWP juga berbesar hati melunaskan sewa beli bulanan rumah beliau selama beberapa bulan mendatang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memberikan wang tunai dan mendaftarkan Puan Faizah sebagai penerima modal perniagaan wanita Arrahnu Biznita.

“Barang asas dapur juga telah diberikan bagi meringankan beban beliau. Bantuan pengajian diberikan kepada anak beliau.

“Di samping itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Tabung Musa’adah telah menyampaikan wang tunai kepada beliau untuk perbelanjaan harian.

“Saya doakan Puan Faizah dapat mengharungi pandemik ini dengan lebih bersemangat dan tabah bersama anak-anak tercinta,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here