OKU putus bekalan makanan kibar bendera putih

0
2

SEORANG orang kelainan upaya (OKU) yang mengibarkan bendera putih di pagar rumahnya di Taman Sentosa Gemas, di Tampin diberikan bantuan segera oleh Pemuda Umno Bahagian kawasan tersebut.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Tampin, Muhammad Hafez Hezmi berkata, wanita OKU berkenaan tinggal berseorangan dan mula mengibarkan bendera disebabkan sudah kehabisan bekalan makanan keperluan harian.

Menurutnya, wanita berkenaan kini di bawah pemantauan jiran yang turut sama mengetahui keadaan dialaminya yang memerlukan bantuan.

“Kami akan segera menghulurkan bantuan sekiranya terdapat maklumat rumah di sekitar kawasan Tampin mengibarkan bendera putih. Ini salah satu cara individu terkesan untuk memaklumkan kepada orang lain yang mereka memerlukan bantuan segera.

“Selain satu kes di Gemas, kita juga hulurkan bantuan makanan kepada tujuh sekeluarga di Pekan Tampin yang turut mengibarkan bendera putih di hadapan rumah sewanya sejak pagi tadi,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.

Muhammad Hafez berkata, masih ramai lagi individu yang tidak mengetahui cara memohon bantuan dan sekiranya kempen bendera putih tersebut boleh membantu meluahkan keperluan tersebut, tindakan berkenaan perlu disambut dengan baik.

Menurutnya, sebagai langkah awal dan persediaan, Pemuda Umno Bahagian itu akan menyediakan 100 pek makanan keperluan harian esok untuk diagihkan kepada rumah yang mengibarkan bendera putih serta senarai nama yang telah dikesan memerlukan oleh ahli Pemuda. – Malaysiapost

Foto : Kredit Kosmo Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here