BELUM surut kesedihan terpaksa menutup perniagaan makanan, bekas penyerang terbaik negara, Khalid Jamlus sekali lagi menerima ujian apabila anaknya disahkan positif Covid-19.
Menurut pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Malaysia 2002 itu, beliau memohon orang ramai mendoakan kesihatan anaknya agar segera sembuh daripada penyakit tersebut.
“Assalamualaikum. Mohon doakan anak saya sembuh dari Covid-19.
“Allahuakhbar dugaan dugaan. Ya Allah sembuhkan anakku Ya Allah,” tulisnya di Insta Story, hari ini.
Minggu lalu, Khalid terpaksa menutup perniagaan gerai Daging Salai Masak Lomak Cili Api yang diusahakannya di Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat.
Beliau mengakui terpaksa menanggung kerugian hampir RM8,000 selepas terpaksa menutup gerai yang baru beroperasi September tahun lalu.
Sebelum itu pula, selain jersi dan medal kemenangan, bekas pemain Perak dan Selangor itu menjual trofi kasut emas yang dimenanginya pada 2002.
Trofi kasut emas itu akhirnya dibeli Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada satu nilai yang dipersetujui kedua-dua pihak. – Malaysiapost

