PENDAKWAH, Ebit Lew selamat tiba di tanah air setelah hampir sebulan berada di Gaza bagi melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin.
Ebit menerusi hantaran di laman Facebook memberitahu, akan menjalani kuarantin di lokasi yang ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, selain Wisma Putra dan
Kedutaan Besar Malaysia di Mesir atas sokongan mereka.
“Alhamdulillah, segala puji milik Allah. Terima kasih ya Allah. Terima kasih semua yang selalu mendoakan, Allah sahaja yang membalasnya. Jika ada kebaikan atas yang kami buat berkat doa semua.
“Kami sedang menjalani kuarantin di tempat yang ditentukan KKM. Terima kasih Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Wisma Putra serta Kedutaan Besar Malaysia di Mesir,” tulisnya dihantaran itu hari ini.
Pada masa sama, Ebit turut merakamkan ucapan terima kasih kepada syarikat penerbangan, Turkish Airlines kerana menaja penerbangan mereka.
“Terima kasih Turkish Airlines selesa sangat dan layanan paling seronok, makanan semua sedap, semoga berkat dan bertambah maju,” katanya. – Malaysiapost

