Agong zahir penghargaan kepada kerajaan Jepun

0
2

YANG di-Pertuan Agong menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Jepun atas sumbangan sejuta dos vaksin AstraZeneca bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Istana Negara menerusi laman media sosial rasminya, menyatakan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Penyelaras Program PICK, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk’ Seri Dr Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan Jepun dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin itu.

Bekalan vaksin berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Japan Airline JAL723 pada jam 5.20 petang kelmarin.

Sumbangan ini juga sekali gus menjadikan jumlah vaksin keluaran AstraZeneca yang diterima oleh Malaysia adalah sebanyak 1,828,000 dos sehingga 1 Julai.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Oka Hiroshi atas kemurahan hati Kerajaan Jepun.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi PICK,” katanya menerusi kenyataan itu.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here