MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor hari ini tampil menjelaskan salah faham masyarakat mengenai pandangannya berkaitan mengibar bendera putih.
Beliau berkata, tujuannya menyatakan pandangan yang tidak bersetuju dengan tindakan itu adalah semata-mata didorong kebimbangan ia boleh menggugat akidah seorang Muslim.
Katanya, perkara berkenaan boleh berlaku jika tindakan itu bermotifkan sikap berputus asa daripada rahmat Allah SWT dan tidak bersabar terhadap ujian-Nya.
“Tidak terlintas sama sekali di hati saya untuk menghalang tindakan tersebut jika ia difikirkan boleh dijadikan satu cara berkesan untuk menyedarkan pihak berkuasa dan masyarakat awam serta memudahkan semua pihak menghulur bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Selain daripada itu kenyataan saya sebelum ini juga bertujuan untuk memperbetulkan persepsi salah sebahagian rakyat terutama mereka yang terjejas pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bahawa pihak-pihak berkenaan mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap mereka.
“Sebaliknya, nasib mereka sentiasa mendapat perhatian dan sedia dibantu dan dibela oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan negeri di samping agensi-agensi dan institusi-institusi tertentu termasuk Pusat Pengurusan Zakat setiap negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Wan Salim berkata, perlu diperingatkan bahawa dalam kenyataan tersebut juga beliau turut menggesa pihak berkuasa dan agensi-agensi kerajaan supaya bertindak lebih intensif dan agresif dalam usaha membantu golongan yang terjejas pendapatan dalam tempoh PKP.
Tambahnya, beliau juga menyeru syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta supaya turut membantu untuk meringankan kepayahan hidup golongan berkenaan.
“Saya ingin memohon berbanyak-banyak kemaafan daripada semua pihak di atas kekeliruan yang timbul daripada kenyataan saya mengenai isu ini,”katanya.
Semalam, media melaporkan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibarkan bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup untuk mengharapkan bantuan.
Wan Salim dilaporkan berkata, pihaknya beranggapan tindakan sedemikian tidak wajar kerana mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.
Katanya, umat Islam perlu memahami bahawa sikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan dan kesempitan hidup adalah dilarang.
Tambahnya, individu yang mudah mengalah kepada kesusahan dan berputus asa dalam menghadapi ujian hidup menunjukkan kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada rahmat Allah SWT. – Malaysiapost

