PKPD: Garis panduan agensi bawah MOT dikemaskini

0
1
Suasana hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Permai, Sungai Besi ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengemas kini garis panduan kepada agensi di bawah kementeriannya berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai bermula esok di sebahagian besar mukim di Selangor dan Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pelaksanaan PKPD itu berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan penularan pandemik Covid-19 yang terus meningkat.

Kemas kini garis panduan yang dinyatakan MOT seperti berikut :

  1. Perkhidmatan Kaunter JPJ, APAD, Puspakom Dan JLM
  • Dalam Siaran Media bertarikh 30 Jun, MOT telah mengumumkan pembukaan semula perkhidmatan kaunter semasa Fasa Pertama PKP di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk transaksi / perkhidmatan yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian.
  • Walau bagaimanapun, dalam tempoh PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur, semua perkhidmatan kaunter yang dikendalikan oleh agensi di atas akan ditutup kecuali kawasan di Kuala Lumpur yang berada di luar zon PKPD. Orang ramai digalakkan merujuk laman rasmi media sosial atau laman sesawang agensi-agensi yang berkaitan untuk keterangan lebih lanjut.
  1. Surat kelulusan perjalanan dari SMILE
  • Surat pengesahan pengoperasian melalui Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) MOT masih tergunapakai sepanjang tempoh ini. Pemohon tidak perlu memuat turun surat baharu jika memiliki surat pengesahan sebelumnya.
  1. Kenderaan persendirian
  • Hanya satu (1) orang dari setiap isi rumah dibenarkan menggunakan kenderaan mereka sendiri (tanpa mengira kapasiti tempat duduk) untuk mendapatkan barangan keperluan dalam lingkungan 10 kilometer dari tempat tinggal mereka. Kebenaran polis diperlukan (mengikut kes / situasi) untuk penambahan penumpang bagi tujuan yang dibenarkan.
  • Pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS sebagai bukti. Maksima dua (2) orang dalam satu kenderaan dibenarkan bagi tujuan mendapatkan penjagaan kesihatan, perubatan atau bagi tujuan vaksinasi.
  1. Perkhidmatan teksi dan e-Hailing
  • Hanya dua (2) orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki teksi atau kenderaan e-hailing.
  1. Pengangkutan awam dan industri logistic
  • Perkhidmatan kereta api, LRT, MRT, ERL, Monorel, bas, teksi, feri, dan e-hailing dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penumpang 50 peratus.
  • Lapangan terbang dan pelabuhan boleh terus beroperasi seperti biasa. Pengangkutan perdagangan melalui darat, udara dan laut adalah perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi semasa PKPD termasuk perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (parcel) atau apa-apa aktiviti yang menjadi rantaian kepada mana-mana perkhidmatan perlu.
  • Perkhidmatan pelabuhan dan perusahaan yang berkaitan termasuk limbungan kapal, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemukalan komoditi, pemaliman serta pemunggahan (loading dan unloading) di pelabuhan adalah dibenarkan. Aktiviti loading dan unloading di luar kawasan pelabuhan semasa PKPD hanya dibenarkan untuk perkhidmatan perlu yang diluluskan.
  • Jumlah penumpang yang dibenarkan menggunakan kenderaan komersial dan logistik adalah tertakluk pada pendaftaran kenderaan masing-masing. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here