KERAJAAN digesa mengambil langkah sewajarnya jika merancang untuk membenarkan negeri-negeri dengan jumlah kes baharu dan kadar kebolehjangkitan Covid-19 rendah untuk beralih ke fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berikutnya terlebih dahulu.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berpendapat ia perlu dilakukan bagi mengelakkan negeri yang dibenarkan beralih fasa pemulihan kembali mengalami peningkatan kes.
Ahli Parlimen Pekan itu mencadangkan beberapa langkah yang perlu dilakukan segera bukan dalam tempoh sebulan atau tiga dan empat bulan kemudian kerana virus Covid-19 ada tempoh inkubasinya.
“Bagi negeri-negeri dengan kes Covid-19 dua angka ke bawah dan kadar kebolehjangkitan Ro di bawah 0.80 untuk tempoh lima hari berturut, negeri-negeri ini boleh terus ke Fasa 3 (tak payah nak masuk Fasa 2) untuk benarkan hampir semua sektor beroperasi semula.
“Sebelum itu, sempadan negeri perlu dijaga sama ketat seperti sempadan negara. Orang tempatan juga mengambil peranan yang penting untuk memberi kerjasama agar kawan-kawan serta ahli keluarga tidak curi masuk ke dalam negeri melalui jalan tikus,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, syarat juga perlu dikenakan dalam memberi kebenaran rentas negeri untuk seluruh negara bagi sebarang tujuan termasuk penghantaran barang iaitu wajib mendapat dua dos vaksin.
“Ini kerana risiko bagi mereka yang telah divaksin sepenuhnya untuk dijangkiti dan menjangkit adalah jauh lebih rendah.
“Sekiranya negeri yang telah diberi kelonggaran tiba-tiba menunjukkan kenaikan kes maka buatlah ‘total lockdown’ untuk tempoh tujuh hari sahaja untuk membenarkan pihak berkuasa mengenalpasti kluster atau hotspot untuk dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (KPD),” katanya.-Malaysiapost

