PEMIMPIN dan agamawan perlu mengambil sikap bersangka baik terhadap kempen kibar bendera putih yang dicetuskan rakyat bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata anggapan bahawa kempen kibar bendera putih sebagai propaganda politik yang bertujuan memburukkan dan ingin menjatuhkan kerajaan tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, ramai rakyat sememangnya terkesan dengan PKP hingga kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan selain perniagaan terpaksa ditutup.
“Ada MB (Menteri Besar) dan orang agama yang tidak setuju kempen menaikkan bendera putih. Tujuannya batil.
“Kenapa batil? Kerana ia propaganda politik. Motifnya ialah untuk burukkan dan jatuhkan kerajaan PN (Perikatan Nasional).
“Ada pula yang beranggapan, jika jika PN jatuh bukan bendera putih yang berkibar. Bendera DAP yang akan naik. Ke situ perginya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, tindakan membantah itulah sebenarnya mainan politik kerana khuatir kerajaan dapat malu dan jatuh.
“Ada pula yang berpendapat bendera putih cerminkan sikap mengalah dan berputus asa.
“Mereka bukan tidak mahu kerja dan mengemis di tepi jalan. Tetapi kerana PKP, mereka hilang kerja dan sumber pendapatan. Tempat kerja tutup atau bisnes kecil tutup,” katanya.
Menurutnya, sebagai contoh pekerja hotel, tukang gunting rambut, pengusaha car wash dan lain-lain.
“Mereka itu malas kerja ke? Mereka bukan naik bendera putih sepanjang hayat atau setiap hari. Sumbangan yang mereka terima pun boleh bertahan seminggu sahaja.
“Sepatutnya pemimpin dan orang agama lebih sesuai ambil sikap ‘husnuzon’ iaitu bersangka baik,” katanya. – Malaysiapost

