PENDEKATAN yang pragmatik dan fleksibel dalam menangani pandemik adalah kunci bagi membantu negara mengatasi cabaran wabak Covid-19.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah memberi amaran mengenai tindakan ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan menjejaskan ekonomi.
Menurutnya, amaran itu terutama membabitkan kesan terhadap golongan yang berpendapatan rendah.
“Pendekatan yang pragmatik dan fleksibel dalam menangani pandemik adalah kunci untuk membantu negara mengatasi cabaran Covid-19 ini.
“Dalam masa yang sama, kerajaan perlu mempercepatkan vaksinasi rakyat, terutama untuk kelompok yang paling rentan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, imuniti kelompok adalah langkah ke hadapan dalam menangani wabak Covid-19.
Beliau turut berkongsi petikan kenyataan daripada Wakil Khas WHO untuk Covid-19, Dr David Nabarro yang mengatakan WHO tidak menyarankan kaedah ‘lockdown’ bagi menangani wabak Covid-19.
Kerajaan Malaysia semalam mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai 2021 sehingga 16 Julai 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu berdasarkan situasi Covid-19 di kedua-dua negeri itu menunjukkan trend jangkitan yang tinggi.
Semalam kadar jangkitan harian baharu kes Covid-19 meningkat ke hampir 7,000 kes iaitu 6,988 kes menjadikan keseluruhan 758,967 kes seluruh Malaysia.
Malaysia juga kini dalam Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang memerlukan kes berada 4,000 kes ke bawah selama seminggu untuk beralih ke Fasa Kedua. – Malaysiapost

