Hormat hak rakyat kibar bendera putih – ABIM

0
2

SEMUA pihak harus menghormati hak rakyat untuk mengibarkan bendera putih sebagai cara yang ada untuk menampung kelangsungan hidup diri dan keluarga.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata pihak kerajaan tidak seharusnya menghalang inisiatif murni rakyat untuk membantu rakyat yang lain khususnya menerusi pelbagai tafsiran politik yang menyimpang.

Menurutnya, tindakan menghalang kempen kibaran bendera putih yang datang dari inisiatif rakyat Malaysia bagi meredakan kesengsaraan hidup ketika ini, bakal menzahirkan kemarahan rakyat yang memang sudah semakin tertekan.

“ABIM menegaskan, kibar bendera putih adalah satu manifestasi suara rakyat melangkaui kepentingan politik kepartian.

“Sebaliknya, ia menyedarkan pemimpin negara bahawa keadaan rakyat ketika ini sudah kritikal. Ini dapat dilihat menerusi beberapa insiden yang menyedihkan termasuklah kes bunuh diri yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, secara keseluruhan statistik bunuh diri di Malaysia telah menjangkau angka 1,000 dari tahun 2019 hingga Mei 2021 dengan purata dua kes bunuh diri sehari.

Katanya, laporan dari Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) turut menyatakan lebih 600,000 isi rumah dari golongan berpendapatan pertengahan (M40) telah tergelincir ke golongan berpendapatan rendah (B40) yang memberi gambaran kesengsaraan rakyat yang semakin menebal.

“Maka, ABIM menegaskan menerusi beberapa inisiatif baik yang datang dari rakyat termasuk kibaran bendera putih, ia satu terjemahan kepada fenomena baharu #rakyatjagarakyat iaitu rakyat bersama-sama membantu antara satu sama lain tanpa perlu menunggu inisiatif daripada pemerintah.

“ABIM juga menyeru seluruh rakyat berganding bahu membantu antara satu sama lain sebagai mekanisme bersama untuk memberdaya rakyat untuk jangka masa panjang, kerana situasi permasalahan yang berlaku hari ini menimpa semua pihak tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here