POLIS mengesahkan menerima laporan daripada selebriti sensasi, Zarina Anjoulie yang didakwa bakal mengambil tindakan saman terhadap seorang anggota polis wanita.
Ia susulan tindakan yang dilakukan individu tersebut mengenai tahanan polis yang dipercayai membabitkan dirinya baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, siasatan akan dilakukan pihaknya berhubung dakwaan Zarina itu.
“Kami ada menerima laporan berkait fakta isu ini dan siasatan dijalankan,” katanya memetik Kosmo Online.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan tidak memaklumkan bila dan di mana laporan polis itu dibuat.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG) yang sudah dipadamkan, Zarina juga akan menentang secara habis-habisan isu berkenaan.
“Alhamdulillah, laporan sudah dibuat kepada anggota polis wanita berkenaan. Selepas siasatan, saya akan mengambil tindakan menyaman anggota tersebut.
“Saya akan menentang habis-habisan tentang isu ini. Memandangkan anggota ini nak tular dan glamor, saya akan bagi dia glamor yang dia idamkan.
Di manakah integriti kamu sebagai seorang anggaota polis wanita? Saya bimbang adakah nanti orang lain akan kena senasib juga?” katanya dalam hantaran itu.
Media sebelum ini melaporkan seorang selebriti wanita ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Nilai, Negeri Sembilan.
Biarpun pihak polis tidak mendedahkan identiti selebriti tersebut, rata-rata netizen membuat andaian bahawa individu berkenaan ialah Zarina. – Malaysiapost

