Bendera putih propaganda bina persepsi kerajaan gagal – MB Kedah

0
1

KERAJAAN Negeri Kedah tidak mengiktiraf penggunaan bendera putih sebagai tanda memerlukan bantuan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebaliknya pihak beliau hanya menyalurkan bantuan makanan kepada individu yang membuat aduan secara rasmi melalui panggilan telefon di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) seluruh daerah di negeri itu.

“Kita telah edarkan nombor telefon PKOB setiap daerah dan nombor telefon pusat khidmat wakil rakyat untuk orang ramai hubungi bagi mendapatkan bantuan makanan.

“Sekarang ini kita ada kemudahan aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp serta pesanan mesej, individu yang perlu bantuan boleh menghubungi PkOB untuk bantuan makanan tanpa mengibar bendera putih,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) di Kulim hari ini.

PTSB telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bemula 26 Jun sehingga 9 Julai.

Muhammad Sanusi berkata, penggunaan bendera putih itu merupakan salah satu propaganda politik untuk membina persepsi kerajaan gagal dalam kalangan masyarakat.

“Saya sudah kata banyak kali ia (bendera putih) ini adalah propaganda politik yang mencerminkan persepsi kerajaaan gagal, sebenarnya kerajaan sedang menangani pandemik Covid-19 ini dengan baik,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kerajaan telah menyediakan saluran rasmi yang boleh digunakan oleh rakyat dan mereka akan dibantu tidak mengira fahaman politik.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri memberi bantuan wang tunai sebanyak RM20,000 kepada PKOB Daerah Kulim termasuk PTSB sebanyak RM10,000.

Tambahnya, setiap PKOB juga akan menerima sebanyak 2,000 bakul makanan kecuali PKOB daerah Kuala Muda mendapat 3,000 bakul makanan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here