KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan penglibatan dan tawaran iklan terhadap pembiayaan peribadi ‘Lestari Pinjaman Peribadi KPKT’ kepada orang awam seperti tular di laman Facebook.
KPKT dalam kenyataan media berkata, hasil semakan di Facebook iaitu ‘Lestari Pinjaman Peribadi KPKT’ mendapati laman tersebut telah diwujudkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menurut kenyataan itu, pihak tersebut telah menyalahgunakan Logo KPKT (Jata Negara) dan logo syarikat Kredit Komuniti berlesen yang didaftarkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400].
“Sehubungan itu, KPKT menafikan penglibatan dan tawaran iklan terhadap pembiayaan peribadi ‘Lestari Pinjaman Peribadi KPKT’ kepada orang awam.
“KPKT memandang serius terhadap mana-mana pihak atau syarikat pemberi pinjam wang berlesen atau tidak berlesen yang menyalahgunakan logo KPKT (Jata Negara), logo Kredit Komuniti dan lesen pemberi pinjam wang untuk tujuan penipuan (scammer),” kata kenyataan itu hari ini.
KPKT berkata, siasatan lanjut terhadap perkara tersebut dilakukan oleh kementerian dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk penelitian dan tindakan selanjutnya.
“Aduan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara tersebut.
“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan lebih berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran pinjaman yang diiklankan,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung iklan yang dipaparkan, orang awam dinasihat menghubungi Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK), KPKT ditalian 03-8891 4690/4668/4658/4708 atau mengemukakan aduan melalui saluran https://aduan.kpkt.gov.my atau melalui aplikasi mobil i-KrediKom. – Malaysiapost

