Malaysia perkasa tindakan strategik selamatkan Harimau Malaya

0
1

AKTA Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) akan dipinda supaya kadar hukuman dan penalti lebih berat dikenakan bagi kesalahan memburu spesies hidupan liar yang dilindungi termasuk Harimau Malaya.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kementeriannya sedang melaksanakan proses pindaan akta itu yang akan dibentang dalam sidang Parlimen akan datang.

Menurutnya, Jemaah Menteri pada 16 Jun lalu bersetuju dengan tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya untuk tempoh pelaksanaan 10 tahun bermula 2021 hingga 2030.

“Harimau Malaya adalah spesies ikonik Malaysia yang menjadi simbol Jata Negara dan memainkan peranan penting dalam menjaga keseimbangan ekosistem hutan negara.

“Kepupusan Harimau Malaya akan menjejaskan rantaian ekosistem dan boleh mengakibatkan kesan buruk kepada manusia dan hidupan liar lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Survei Harimau Kebangsaan Pertama (First National Tiger Survey – NTS1) pada 2016 hingga 2020 di hutan Semenanjung Malaysia mendapati populasi Harimau Malaya sangat membimbangkan.

“Dapatan ini jelas menunjukkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli perlu menerajui tindakan luar biasa bagi memastikan negara tidak kehilangan spesies ikonik ini buat selamanya.

“Satu pasukan pakar telah ditubuhkan oleh kementerian terdiri daripada pakar-pakar konservasi Harimau Malaya termasuk Taman Negeri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menangani krisis harimau ini,” katanya.

Beliau berkata, selain meminda Akta 716, tindakan strategik lain adalah mengukuhkan inisiatif sedia ada dalam aspek pemeliharaan dan pemuliharaan habitat harimau itu serta aktiviti penguatkuasaan.

“Inisiatif baharu berimpak tinggi juga akan dilaksanakan termasuk rondaan penguatkuasaan dan pengawalan dalam kawasan habits Harimau Malaya bagi membanteras pencerobohan dan pemburu haram,” katanya.

Menurutnya, rekod sepanjang 2011 hingga 2020 menunjukkan sebanyak 5,287 bahagian anggota badan Harimau Malaya yang diseludup berjaya dirampas.

Beliau berkata, tindakan juga akan diambil di peringkat seratau dan antarabangsa dari aspek penguatkuasaan yang akan diperkasakan.

Menurutnya, Malaysia sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya selaras komitmen sebagai negara negara parti kepada ‘Convention on Diversity’ (CBD) sejak 1994 dna Tiger Summit Declaration 2010.

“Sesungguhnya kejayaan pelaksanaan tindakan-tindakan strategik konservasi Harimau Malaya adalah tanggungjawab kita bersama untuk menyelamatkan spesies ikonik negara daripada diancam kepupusan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here