Covid-19: Tindakan terhadap Selangor, KL diumum petang ini

0
2

Nilam Oshman

KERAJAAN akan mengumumkan tindakan lanjut untuk menangani penularan wabak Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur memandangkan kes di kedua-dua negeri tersebut masih tinggi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya kini sedang memfokuskan dua negeri terbabit dan langkah terperincikan juga sedang dilakukan.

“Kalau kita lihat Selangor, tak kurang daripada 2,000 kes purata satu hari. Jadi kita perlu fokus kepada Selangor dan begitu juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur cuma kita tengah perincikan dari segi tindakan kita.

“Kita mudah untuk membuat PKPD di Selangor, kita boleh gunakan daerah, mukim. Tetapi Kuala Lumpur dari segi pentadbiran daerah itu tidak ada itu yang tengah kita kaji dan InsyaAllah petang ini saya akan umumkan mengenai tindakan di Selangor dan juga Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di PWTC hari ini.

Justeru, Ismail Sabri berkata, nilai ambang yang ditetapkan oleh kerajaan akan turut dikaji berdasarkan kepada negeri-negeri masing-masing.

“Perlis misalnya kadang-kadang dua angka atau satu angka kes harian. Tapi kerana Selangor penyumbang kes yang besar jadi Perlis pun terpaksa diletakkan ke Fasa 1 juga. Namun sebaliknya negeri itu mungkin boleh dipindah ke Fasa 2 atau 3.

“Jadi, sekarang ini kita tengah perincikan dan kita dah ada cadangan dan sudah membincangkan dalam mesyuarat sidang khas MKN,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkaitan industri perkilangan penyumbang utama kes harian Covid-19, Ismail Sabri berkata, tindakan tegas dikenakan ke atas kilang-kilang yang melanggar rosedur operasi standard (SOP).

“Kita akan tutup kilang yang didapati melanggar SOP, yang tak sepatutnya dibuka kerana tidak tersenarai dalam fasa 1 dan kilang yang didapati ada kes positif.

“Setakat ini, saya telah mengumumkan banyak kilang sudah ditutup. Serbuan setiap hari dilakukan Task Force Operasi pematuhan yang diketuai PDRM. Kita akan terus menyerbu dan mengambil tindakan kepada kilang-kilang tersebut,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau sedar banyak pihak termasuk rakyat yang marah terhadap tindakan kerajaan memberi kebenarkan sektor kilang beroperasi.

“Seperti saya katakan kilang yang melanggar SOP akan diambil tindakan dan InsyaAllah jika saya umum berkenaan Selangor hari ini mungkin ada gambaran kilang-kilang ditutup,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here