Sidang Parlimen penting untuk manfaat rakyat – Shafie Apdal

0
1

PRESIDEN WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menasihatkan kerajaan supaya tidak bersikap angkuh serta mengambil iktibar terhadap situasi yang berlaku kepada negara ketika ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, negara ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan bukan hanya membabitkan masalah ekonomi, bahkan ramai yang kehilangan nyawa akibat pandemik Covid-19.

Justeru, beliau berkata, titah pandangan Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen bersidang segera perlu diambil perhatian oleh kerajaan khususnya pentadbiran Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Setelah lebih dua minggu dititahkan Agong dan Majlis Raja-Raja, kelmarin sekali lagi baginda menzahirkan dan menitahkan supaya persidangan parlimen diadakan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shafie berkata, apa yang terjadi hari ini adalah menggambarkan keadaan sebenar penderitaan yang dihadapi rakyat.

“Ramai rakyat hilang punca pendapatan, syarikat tidak dapat meneruskan operasi dan terpaksa buang pekerja, peniaga-peniaga kecil banyak yang gulung tikar.

“Banyak keluarga terputus bekalan makanan, anak-anak kecil tiada susu, ramai yang tidak dapat mengadakan bekalan asas makanan untuk seisi keluarga, kesempitan hidup semakin parah dan lain-lain situasi yang tidak menyebelahi kebanyakkan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata, beliau bimbang sekiranya situasi dan keadaan berkenaan tidak diatasi segera akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.

“Malaysia yang mengamalkan pemerintahan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan ini perlu kita jaga, hormati dan pertahankan.

“Selaras dengan titah Tuanku yang mahu Persidangan Parlimen diadakansegera menunjukkan bahawa baginda Tuanku sangat prihatin dan memahami akan kesusahan yang dihadapi rakyat.

“Sudah tentu banyak perkara dapat dibincangkan, diselesaikan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat, terutama perkara-perkara berkaitan Ordinan-Ordinan Darurat Covid-19,” katanya.

Semalam media melaporkan, persidangan khas Parlimen dicadang diadakan sebelum 1 Ogos ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama memaklumkan, perkara itu sudah dicadangkan kepada Perdana Menteri susulan sesi menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kelmarin.

“Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here