POLIS mengesahkan tiada pekerja kilang yang tinggal di Mentari Court di Sungai Way, Petaling Jaya melarikan diri sejurus sebelum lokaliti itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati semua 842 warga asing termasuk pekerja kilang berada dalam lokaliti tersebut sejurus PKPD dilaksanakan.
“Kita sudah buat siasatan dan mendapati semua pekerja berada dalam kawasan ini (Mentari Court). Itu semua salah faham antara penduduk tempatan dengan pekerja warga asing, kata.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung maklumat yang tular mendakwa ada majikan mengarahkan pekerja asing mereka yang tinggal di Mentari Court supaya meninggalkan kawasan itu sebelum PKPD.
Mohamad Fakhruddin menjelaskan, kemungkinan berlaku salah faham kerana penduduk termasuk warga asing dibenarkan bergerak keluar dalam radius 10 kilometer sebelum PKPD dilaksanakan.
“Selepas PKPD dikuatkuasakan, tiada lagi pergerakan keluar masuk,” katanya.
Terdahulu beliau bersama Pegawai Daerah Petaling Jaya, Datuk Johary Anuar meninjau hari pertama PKPD di Mentari Court yang melibatkan 3,599 rumah dengan kira-kira 17,000 penduduk. – Malaysiapost

