Atlet terkesan Covid-19, tak perlu kibar bendera putih

0
1
WAN AHMAD FAYHSAL

ATLET yang berdepan masalah dalam tempoh pandemik Covid-19 tidak perlu mengibarkan bendera putih sebaliknya terus memaklumkan kepada Kementerian Belia dan Sukan.

Timbalan Menterinya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya sentiasa menjaga kebajikan atlet di negara ini.

Beliau berkata, menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), mereka yang terkesan akan diberikan bantuan.

“Kalau ada apa-apa yang diperlukan sama ada bantuan bakul makanan mahupun melibatkan kesihatan kita akan bantu.

“Buat masa ini saya tak dengar lagi apa-apa masalah. Kempen bendera putih ini bagus cuma kita tak perlukan bendera putih untuk bantu atlet,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata demikiankepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, di Bagan Serai, Perak, hari ini.

Sementara itu, mengenai sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac), Wan Ahmad Fayhsal berkata, di Perak sebanyak 6,000 permohonan diterima.

Katanya, bagaimanapun hanya 300 individu sahaja diambil untuk mengisi penempatan yang ditetapkan di seluruh Perak.

“Jumlah permohonan di Perak ini agak memberangsangkan tetapi penempatan diperlukan hanya 300 individu di seluruh Perak.

“Keperluan itu amat bergantung kepada belanjawan, kalau Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) ada peruntukan untuk sukarelawan, kita boleh tambah lagi penempatan baharu,” katanya.

Jelasnya, di seluruh negara pula terdapat 105,000 sukarelawan MyVac yang berdaftar, namun hanya 5,000 sahaja yang diambil untuk bertugas di PPV ditetapkan. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Wan Ahmad Fayhsal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here