PELAN rasionalisasi Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) akan memberi kesan positif kepada pengurusan keselamatan sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kesan positif dihasilkan apabila kekuatan sedia ada AKSEM digabungkan bersama PDRM yang dapat memperkasakan fungsi dan peranan agensi penguatkuasaan keselamatan di sempadan darat negara.
“Rasionalisasi AKSEM ini juga akan membuka ruang yang lebih luas kepada tanggungjawab pengawalan sempadan negara ke seluruh Malaysia kerana sebelum ini dengan kekuatan sedia ada AKSEM hanya mampu menumpukan pengawalan sempadan darat negara di bahagian utara dan timur Semenanjung Malaysia sahaja.
“Fungsi pengawalan keselamatan di sempadan negara yang lain dilaksanakan oleh PDRM melalui PGA termasuklah ke kawasan pesisir pantai dan pulau-pulau di pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Hamzah, KDN juga yakin pelaksanaan Pelan Rasionalisasi AKSEM ini akan memantapkan lagi kawalan sempadan darat negara secara keseluruhannya melalui sinergi baharu kawalan sempadan yang diselia oleh PDRM.
“Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi penghargaan kepada semua Pegawai/Anggota AKSEM yang selama ini memainkan peranan yang besar di dalam memastikan keselamatan sempadan negara berada di dalam tahap yang optima,” katanya.
Pelan rasionalisasi atau pelaksanaan penstrukturan semula AKSEM ke dalam PDRM akan dilaksanakan secara berfasa mulai 30 Jun 2021 sehingga 30 September 2021.
Ia merangkumi aspek peranan, penyerahan aset, penjajaran semula perjawatan dan sumber manusia, pengurusan kewangan dan perolehan.
Pelaksanaan secara berperingkat ini adalah bagi memastikan tidak berlaku kelompongan dan seterusnya memberi kesan negatif kepada keselamatan sempadan negara. – Malaysiapost

