PELAKON Zarina Anjoulie bercadang untuk membuat laporan polis terhadap beberapa pemilik Instagram (IG) yang didakwa menuduhnya sebagai selebriti wanita yang ditahan polis akibat kes dadah, semalam.
Menerusi hantaran laman sosialnya itu, Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul, berkata tindakan itu selepas mengambil kira pandangan dan pendapat peguamnya.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Anju turut akan membuat laporan ke atas seorang anggota polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD), Nilai kerana dipercayai menangkap dan menyebarkan gambarnya ketika berada di IPD tersebut dan tindakan undang-undang juga akan diambil.
“Alhamdulillah semua berjalan lancar dengan peguam-peguam tadi.. malam ini beberapa laporan polis saya akan buat terhadap beberapa pemilik IG dan juga terhadap seorang anggota polis IPD nilai.
“Saya akan update semua nanti. InshaAllah tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.
Terdahulu, menerusi Instagram Live pagi tadi, Zarina tampil menafikan dakwaan terbabit.
Dalam video itu, Zarina mengakui beliau ke balai polis tapi berkaitan isu lain, bukan dadah.
Oleh itu, beliau mempersoalkan pihak yang menuduhnya mempunyai bukti sama ada melihat gambarnya ditahan masuk lokap atau pun gambarnya digari.
“Aku kena gari ke? Sekarang ini pun aku memang hari-hari pergi balai sebab ada kes yang berjalan dengan benda lain. Jadi ada ke gambar aku ditahan masuk lokap?
“Tak.. Ada ke gambar aku kena gari? Tak.. sebab jelas aku non stop live dari Isnin aku buat story, aku buat live,” katanya.
Sehubungan itu, Zarina mencabar netizen untuk membuktikan bahawa dia telah direman oleh polis seperti dakwaan tular malah menawarkan RM1,000 jika ada pihak berjaya membuktikannya.
“Bila masa aku kena reman? Kalau korang pergi IPD Nilai, pergi cari polis aku boleh bagi dan kau call cakap aku kena reman, aku bagi kau RM1000 kalau boleh buktikan aku kena reman okay.
“Ini janji aku. Ada tak bukti aku kena reman? Kalau jamin polis dan sangkut urine pun kau tetap kena masuk lokap, faham tak, 12 jam,” katanya. – Malaysiapost

