PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin dinasihatkan jangan menderhaka titah Yang di Pertuan Agong agar sidang Parlimen diadakan sebelum Ogos.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Perdana Menteri tidak lagi boleh melengah-lengah dan mencipta pelbagai alasan berkenaan titah Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu.
“Mohon PM 8 jangan lengah, jangan degil dan jangan dilihat derhaka.
“Hari ini sepatutnya Perdana Menteri mengadap YDP Agong sebelum mesyuarat Kabinet. Tetapi batal kerana Perdana Menteri kena “diarea”,” katanya di Facebook, hari ini.
Mohd Puad juga mempersoalkan dan mengaitkan kejadian Muhyiddin dimasukkan ke hospital kerana mengalami diarea dengan sesi menghadap Al Sultan Abdullah yang sepatutnya berlangsung hari ini
“Semalam YDPA Agong titah kali ke 2 supaya Parlimen bersidang secepat mungkin. Apakah ada kaitan kejadian semalam dan hari ini?
“Kalau ada sesi mengadap hari ini, agaknya apa yang akan berlaku? Apatah lagi titah YDP Agong konsisten setelah menerima mengadap Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
“Sebab itu buat segera sidang Parlimen bulan Julai ini. Sebelum 1 Ogos. Jangan tangguh tangguh,” katanya.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri melaporkan Muhyiddin dimasukkan ke sebuah hospital di ibu negara pagi tadi kerana mengalami diarea sejak semalam.
Sementara itu, Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta timbalan timbalan kedua-dua Dewan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.
Ketiga-tiga mereka telah menghadap Al Sultan Abdullah semalam. – Malaysiapost

