Penduduk disaran kekal duduk rumah, jangan ‘lari’ sebelum PKPD

0
2

PENDUDUK Taman Bukit Angkasa dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria di ibu negara yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) disarankan untuk terus duduk di rumah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata demikian susulan kemungkinan ada penduduk cuba keluar dari kawasan berkenaan sebelum PKPD dikuatkuasakan.

Menerusi Facebooknya, beliau turut berkongsi gambar seorang lelaki dipercayai penduduk kawasan berkenaan membawa beberapa beg dalam kenderaan, kelihatan seperti hendak meninggalkan lokasi terbabit.

Beliau berkata, bantuan dan sokongan pelbagai agensi kerajaan akan disediakan kepada penduduk, termasuk Pejabat Kesihatan, Jabatan Kebajikan dan banyak lagi.

“Saya juga akan mulakan pusat operasi untuk sampaikan bantuan kepada yang memerlukan.

“Mereka yang perlu bantuan segera boleh hubungi secara online di FB ini, melalui website https://linktr.ee/fahmifadzil atau WhatsApp https://wa.me/60199952757

“Program saringan akan dilaksana untuk pastikan rantaian jangkitan di Taman Bukit Angkasa dan PPR Pantai Ria dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa risau jika penduduk pindah ke tempat lain kerana ia dikhuatiri boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

“Kita tak pasti sama ada mereka adalah pembawa virus atau tidak, malah tidak pasti sama ada lokasi yang mereka tuju itu pun ada kes atau tidak,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa lokaliti di Lembah Klang dikenakan PKPD bermula 1 hingga 14 Julai berikutan peningkatan kes Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan itu.

Antara lokaliti berkenaan termasuk PPR Pantai Ria serta Taman Bukit Angkasa di Kuala Lumpur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here