
PERLIS membenarkan umat Islam di negeri itu menunaikan solat berjemaah di masjid dengan pematuhan prosedur operasi standard ( SOP) ketat bermula esok.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kebenaran itu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19.
“Semua masjid di negeri ini dibenarkan untuk menerima kehadiran jemaah dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid bermula waktu Subuh esok sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN),” titah baginda dalam kenyataan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang DiPertua MAIPs bertitah, semua jemaah perlu mematuhi SOP ditetapkan dan hanya terdiri daripada ahli kariah berusia 12 hingga 59 tahun.
Bagaimanapun titah baginda, bagi jemaah berusia 60 tahun dan ke atas hanya mereka yang telah melengkapkan dos kedua vaksin Covid-19 dibenarkan.
Baginda bertitah, sebagai langkah kawalan mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas negeri termasuk yang berulang-alik bekerja pada setiap hari juga tidak dibenarkan.
“Solat jenazah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dengan terhad kepada petugas dan keluarga terdekat sahaja dengan pematuhan SOP sepanjang masa.
“Semua aktiviti lain termasuk kuliah agama masih tidak dibenarkan.
“Orang ramai boleh meneruskan kelas pengajian secara maya melalui Program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerusi Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel selain siaran oleh Studio ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis,” titah baginda. – Malaysiapost
