‘Tinggal 5 hari untuk panggil Parlimen bersidang’ – Shahrir Samad

0
2

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata titah Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan sekali lagi meminta sidang Parlimen diadakan secepat mungkin tidak boleh diputar-belit kerajaan.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan dilihat berusaha untuk mewujudkan pelbagai tafsiran kepada definisi ‘secepat mungkin’ dalam titah sebelum ini.

“Kesian tukang propa Perikatan Nasional (PN). Hari tu, macam-macam tafsiran dan ulasan kepada maksud frasa ‘secepat mungkin’.

“Nampak macam tidak dapat diterima. Nak menang hadiah saguhati pun susah. Sekarang ni, peluang kedua macam mana nak ‘spin’ pandangan YDPA,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunya tempoh lima hari lagi untuk memanggil Parlimen bersidang.

“Bagi Umno senang je. Sudah beri tempoh 14 hari untuk PM-PN panggil Parlimen untuk bersidang.

“Ada 5 hari lagi untuk Muhyiddin Yasin panggil Parlimen bersidang. Esok pun mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, berkata Al-Sultan Abdullah berpandangan sidang Parlimen itu perlu mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen.

Pandangan itu dizahirkan Yang di-Pertuan Agong selepas berkenaan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selama sejam bermula jam 11 pagi tadi.

Yang turut menghadap, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here