Moratorium: Tiada faedah terkompaun, penalti lewat bayar – Tengku Zafrul.

0
3

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium.

Beliau berkata, dalam perjumpaan bersama bank baru-baru ini, kerajaan membangkitkan perkara tersebut dan bank bersetuju untuk melaksanakannya.

Katanya, pelaksanaan moratorium yang diumumkan semalam sama sahaja konsepnya seperti diumumkan tahun lepas, lapor AstroAwani.

Terdahulu, MalaysiaKini melaporkan, ketika sidang media secara maya berlangsung Tengku Zafrul berkata, moratorium pinjaman bank selama enam bulan yang diumumkan oleh kerajaan semalam bukannya tanpa faedah.

Semasa sidang media itu, Tengku Zafrul berkata, ia terpulang kepada peminjam dan bank masing-masing untuk membincangkan perincian mengenai moratorium berkenaan.

Bagaimanapun, selepas selesai sidang media, Zafrul datang semula dan memberikan maklumat tambahan.

“Saya telah minta bank, tak kenakan faedah berganda dan denda lewat bayar,” katanya.

Menurutnya, beliau memberitahu media semasa sidang media secara dalam talian sebelum itu beliau tidak memaklumkan mengenai hal itu kerana menjangkakan Bank Negara akan membuat kenyataan rasmi.

Bagaimanapun beliau menukar fikiran sejurus selepas itu bagi menjelaskan situsi sebenar.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan kewangan Pemulih dengan nilai keseluruhan RM150 bilion.

Antara inisiatif yang ditawarkan ialah moratorium pinjaman bank yang diberikan kepada semua peminjam berbanding sebelum ini yang hanya khusus untuk golongan B40.

Namun, beberapa pihak menimbulkan kebimbangan mengenai syarat tambahan untuk moratorium tersebut, dan bertanya apakah peminjam akan dikenakan caj tambahan oleh bank jika mengambil inisiatif tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here