Kerajaan teliti kebenaran rentas daerah di negeri status hijau

0
1

KERAJAAN sedang meneliti untuk memberi kebenaran merentas daerah dalam negeri yang berstatus hijau, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam, dan keputusan mengenainya akan diumum selepas penelitian lanjut.

“Dulu kita pernah lakukan (kebenaran merentas) tapi ramai yang mendakwa ia mengelirukan kerana ada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat ada pula yang PKP Pemulihan.

“Keadaan ini menyebabkan rakyat keliru kerana ada (perintah) berbeza bukan sahaja (berbeza) antara negeri malah daerah pun ada,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan perkara itu menyukarkan penduduk khususnya di negeri yang mencatat angka jangkitan rendah kerana terpaksa mengikut penetapan nilai ambang peringkat nasional.

“Misalnya Perlis tidak boleh keluar ke fasa 1 dan 2 kerana perlu mengikut nilai ambang negara sedangkan penyumbang terbesar adalah Selangor dengan 2,000 lebih kes setiap hari.

“Jadi negeri yang catat hanya dua angka jangkitan ini terpaksa dikawal sama seperti Selangor sedangkan ia (kawasan) hijau,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mencari mekanisme bersesuaian berhubung perkara berkenaan termasuk membuat penetapan nilai ambang berdasarkan jumlah kes per penduduk.

“Insyallah kita teliti sampai masanya kita akan umum selepas pertimbang teliti dibuat supaya ia lebih adil kepada semua,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here