MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju agar pemilihan jawatan di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT ditangguhkan selama 18 bulan bermula esok.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan tersebut selaras dengan perlembagaan Umno Fasal 10.16 iaitu ‘MKT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, Bahagian, Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.’
“Saya telah menemui sendiri dan menulis surat kepada Ketua Pengarah, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
“Intipati surat jawapan daripada KKM dan MKN mencadangkan agar mesyuarat dan pemilihan Umno dibuat secara online/maya.
“Namun, disebut dalam surat KKM dan MKN juga sekiranya tidak boleh dibuat secara online, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh dan keadaan bila pandemik Covid-19 adalah terkawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad berkata, sayugia diingatkan bahawa terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan melihatkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli Umno.
Katanya, terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.
Jelas Ahmad lagi, semua persidangan itu mesti dijalankan secara serentak dalam tempoh dua hujung minggu.
Katanya, tentu sukar persidangan perwakilan bahagian empat peringkat diadakan secara serentak dalam keadaan wujudnya kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat atau PKP Diperketatkan.
“Umno tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat. Kekhuatiran berlaku kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar adalah masalah yang benar,” katanya.
Namun, beliau menjelaskan mesyuarat Bahagian, Cawangan dan Perhimpunan Agung Umno 2021, tanpa diadakan pemilihan dengan kehadiran hanya 1 per empat korum (25 peratus kehadiran) mesti perlu dibuat termasuk secara maya.
Katanya, ia bagi memenuhi prosedur tahunan pertubuhan.
“Jika ada pemilihan tentunya tidak boleh syarat satu per empat kehadiran itu dipakai kerana semua ahli seramai 3.3 juta orang mempunyai hak untuk mengundi,” ujarnya.
Oleh itu, Ahmad berkata, Mesyuarat Cawangan empat peringkat (tanpa pemilihan) hendaklah diadakan pada 15 Ogos hingga 30 September 2021.
Mesyuarat itu boleh diadakan dengan kehadiran hanya 25 peratus daripada jumlah ahli dengan kaedah maya, dan di kawasan luar bandar tanpa internet boleh diadakan secara bersemuka jika dibenarkan oleh SOP. – Malaysiapost

