Segerakan sidang Parlimen, usah derhaka kepada Raja – Pemuda Umno

0
1

PEMUDA Umno mendesak kerajaan memanggil semua Parlimen bersidang sekiranya tidak mahu diselar rakyat sebagai ‘Kerajaan Derhaka’.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki, berkata Yang di-Pertuan Agong hari ini sekali lagi menyatakan pandangan meminta persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Hari ini terjawab polemik yang sengaja dicetuskan mengenai sidang Parlimen yang mesti disegerakan apabila Yang di-Pertuan Agong memanggil mengadap kedua-dua Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Sejurus selepas sesi mengadap, satu lagi kenyataan media Istana Negara dikeluarkan bagaikan memperkukuhkan lagi Titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang mahu Parlimen bersidang secepat mungkin,” katanya.

Selain itu, Asyraf Wajdi turut mempersoalkan sikap kerajaan yang sukar memahami pandangan Seri Paduka baginda dan Raja-Raja Pemerintah berhubung isu itu.

“Kenapa susah sangat nak faham Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang jelas dalam dua kenyataan media pada 16 Jun lalu menitahkan supaya Parlimen wajar bersidang dalam masa terdekat.

“Sehinggakan Tuanku Agong harus sekali lagi memanggil kedua-dua Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengadap?,” soalnya dalam hantaran Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum ini jelas mengggunakan perkataan ‘secepat mungkin dan ‘segera’.

“Ia menzahirkan hasrat Tuanku Agong dan Raja-Raja Melayu yang mahu Parlimen bersidang untuk membahaskan segala permasalahan rakyat yang berhadapan dengan Pandemik Covid-19.

“Parlimen juga boleh bahaskan kelak apakah benar Darurat yang diproklamasikan Kerajaan adalah untuk tujuan menangani Covid-19 atau mempertahankan kuasa,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, apa yang pasti kedua-dua kenyataan media sebelum jelas menunjukkan Agong dan Raja-Raja Melayu amat prihatin terhadap keperitan rakyat yang benar-benar susah, terdesak dan amat tertekan.

“Justeru, segerakan Titah Tuanku atau kerajaan hari ini bakal diselar rakyat sebagai Kerajaan Derhaka,” katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, berkata Al-Sultan Abdullah berpandangan sidang Parlimen itu perlu mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen.

Pandangan itu dizahirkan Yang di-Pertuan Agong selepas berkenaan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selama sejam bermula jam 11 pagi tadi.

Yang turut menghadap, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here