KERAJAAN perlu jelaskan tindakan untuk menurunkan jumlah kes harian ke tahap di bawah 4,000 sehari, kata Penganalisis Politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Menurut Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, semua pihak berhak mengetahui rancangan kerajaan supaya rakyat boleh keluar bekerja, pulang ke kampung dan kembali hidup seperti biasa.
“Contohnya, apakah tindakan kerajaan untuk menurunkan jumlah kes harian ke tahap di bawah 4000 sehari? Perlu ketatkan jarak sosial lagikah, tutup kilangkah, perketatkan SOP (prosedur operasi standard), tingkatkan kadar dendakah atau apa? Dan bilakah keadaan ini boleh dicapai?
“Bagi mencapai tahap katil ICU di paras sederhana, apakah langkah kerajaan bagi melengkapkan kapasiti ini?,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohammad Agus membuat kenyataan itu memetik pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, yang menyatakan Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikekalkan sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai.
Indikator tersebut ialah purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4000, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada paras sederhana, dan kadar vaksinasi rakyat menerima dua dos lengkap telah mencapai 10 peratus.
Beliau berkata, kerajaan perlu bertindak segera bagi melengkapkan kapasiti katil ICU bagi mencapai tahap sederhana yang dinyatakan tersebut.
“Kadar vaksinasi dua dos mencapai 10 peratus, bilakah ini akan tercapai? Soal vaksin ini bukan rakyat yang atur, tetapi tanggungjawab kerajaan menguruskan vaksinnya.
“Saya fikir jika kerajaan memvaksinkan 26 juta rakyat yang layak menerima vaksin dengan kadar 220,000 sehari, paling cepat awal Ogos baharulah sasaran ini tercapai. Mengapa lambat? Bolehkah ditingkatkan kapasiti pemberian vaksin tersebut?
“Jika hendak tunggu sehingga Ogos, lama lagilah rakyat terkurung. Bagi yang bekerja tetap mungkin boleh bertahan, tetapi bagi yang bergaji harian, ini menyiksakan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohammad Agus menegaskan kerajaan harus bertindak serius dalam menentukan langkah strategik terbaik dan pantas bagi memastikan rakyat keluar dari PKP yang sedang berkuatkuasa.
Beliau menjelaskan, sehingga kini rakyat cukup tersepit dengan kehidupan ketika pandemik dan terbeban dengan SOP yang kerap berubah-ubah.
“Kerajaan, janganlah serabutkan rakyat lagi yang baharu keluar dari kerajaan kleptokrasi kepada kerajaan kakistokrasi,” ujarnya. – Malaysiapost

