PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menggesa agar industri kreatif dibenarkan untuk beroperasi semula demi kelangsungan hidup penggiat seni tanah air.
Seniman dalam kenyataan berkata, industri kreatif sudah tidak mampu lagi bertahan dan akan lumpuh sekiranya mereka tidak dibenarkan beroperasi pada Julai ini.
“Untuk pengetahuan pihak kerajaan, Industri kreatif sudah tidak mampu lagi bertahan sekiranya kami tidak dibenarkan beroperasi dalam bulan Julai 2021.
“Segala peruntukkan yang diberikan oleh kerajaan dalam pakej-pakej sebelum ini tidak bermakna sekiranya kami masih tidak dibenarkan beroperasi,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut Seniman, berdasarkan Pelan Pemulihan Negara industri kreatif akan kembali beroperasi pada fasa ketiga nanti setelah kes-kes jangkitan Covid-19 berkurangan bawah nilai ambang 500 kes sehari.
“Warga kerja industri kreatif yang amat terkesan memandangkan 90 peratus daripada kami merupakan pekerja yang bekerja berdasarkan projek (job basis),” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, Seniman sedia mematuhi segala garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digunapakai pada PKP 2.0 yang lepas tanpa sebarang masalah jika dibenarkan untuk beroperasi.
Tambahnya, industri kreatif juga tidak pernah mencetuskan kluster-kluster yang melibatkan penggambaran setakat hari ini ekoran penggiat seni sentiasa patuh kepada SOP serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Pada masa sama, Seniman turut menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin semalam berhubung pemberian Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dengan peruntukkan sebanyak RM100 Juta untuk industri seni dan kreatif negara.
Sehubungan itu, Seniman akan memantau pelaksanaan agihan peruntukkan RM100 juta yang diumumkan untuk penggiat seni tanah air supaya bantuan itu sampai kepada mereka yang memerlukan, secara tidak langsung dapat meringankan beban penggiat seni yang masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga hari ini. – Malaysiapost

