Jangan ajar rakyat angkat bendera putih – Nik Abduh

0
3

RAKYAT tidak sepatutnya diajar mengalah dengan mengangkat bendera putih apabila berdepan ujian Allah SWT.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Aziz dipercayai susulan kempen mengibar bendera putih yang mula dilancarkan di media sosial.

Menerusi kempen itu, orang ramai diminta untuk menghantar isyarat dengan mengibarkan bendera putih jika memerlukan sebarang bantuan akibat terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menerusi hantaran di Facebooknya, pemimpin PAS itu berkata, mereka yang diuji sebaliknya perlu menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT.

“Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan.

“Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih,” katanya.

Nik Mohamad Abduh turut menggunakan tanda pagar #AllahJagaKita dan #MalaysiaOptimis.

Terdahulu tular di media sosial sejak semalam kempen yang menyeru menaikkan bendera putih di kediaman masing-masing bagi sesiapa yang memerlukan bantuan terutama dari segi barang keperluan.

Susulan hantaran tersebut, Nik Abduh mendapat kecaman daripada beberapa pengguna Facebook yang beranggapan kempen mengangkat bendera putih itu bukan sebab rakyat tewas.

“Salam ustaz, Ustaz, keluarga dan sahabat ustaz…ada gaji dan elaun dari kerajaan….boleh sembang tak angkat bendera putih….jangan sombong bila ada kuasa, pangkat dan harta….baru pegang kuasa….Allahu…. sombongnya.”

“Kempen orang angkat bendera putih sebab ada orang tak makan bukan sebab tewas dalam perjuangan.
Golongan yang sepatutnya membantu gagal itu sebab rakyat bersolidariti sahut kempen angkat bendera putih,” kata pengguna Facebook dengan akaun bernama Salah Mo. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here