MOTAC harap inisiatif PEMULIH disalur segara

0
2
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media status terkini gelembung perjalanan pelancongan domestik di Aswara. MOTAC

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berharap inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri semalam, dapat segera disalurkan.

Ia bagi memberi suntikan semangat kepada penggiat pelancongan dan kebudayaan untuk bangkit semula dan berganding bahu bersama kerajaan memulihkan industri berkenaan, kata Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata pada masa sama, MOTAC akan terus memastikan penyelarasan dan pemantauan terhadap pelaksanaan PEMULIH berjalan lancar agar semua penggiat industri mendapat manfaat.

“MOTAC bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang sentiasa memastikan semua pihak dalam rantaian ekonomi terutama berkaitan sektor pelancongan, seni dan kebudayaan diberi perhatian sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nancy berkata, bantuan secara langsung yang boleh dimanfaatkan oleh sektor pelancongan dan kebudayaan melalui PEMULIH adalah seperti berikut:

i. Pelanjutan diskaun bil elektrik sebanyak 10% bagi Oktober hingga Disember 2021 kepada pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan;

ii. Pemberian bantuan one-off RM3,000 kepada lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar dengan MOTAC;

iii. Penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini;

iv. Meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan GoeCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300,000 peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai;

v. Peruntukan RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan kepada penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah PERKESO serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu, yang melibatkan lebih 8,000 penggiat seni;

vi. Pemberian Program Subsidi Upah sebanyak RM600 kepada 500 pekerja bagi setiap majikan selama tempoh empat bulan iaitu, dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dua bulan
seterusnya khusus bagi sektor dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti, di mana tiada lagi syarat had gaji ditetapkan; dan

vii. Pemberian moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.

Mengulas lanjut, Nancy berkata MOTAC sedia membantu kerajaan menawarkan fasiliti atau bantuan daripada aspek tenaga kerja untuk meningkatkan kapasiti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) supaya lebih ramai rakyat dapat divaksin dengan segera.

“Ia selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan yang melibatkan tiga fasa seperti diumumkan ke arah menjayakan Program Covid-19 Free Destination,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here