PEMBAYAR cukai diberi tambahan masa bagi mengemukakan Borang Nyata Cukai untuk beberapa kategori, susulan lanjutan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif itu diambil sebagai kelonggaran kepada pembayar cukai dan memberi lebih masa untuk menyediakan dokumen serta maklumat percukaian yang perlu diisytiharkan.
Menurut LHDN, bagi kategori pembayar cukai membabitkan individu, perkongsian, pertubuhan, harta pusaka dan keluarga sekutu hindu (yang menjalankan perniagaan) lanjutan tarikh ialah sehingga 31 Ogos ini.
“Bagi kategori syarikat, koperasi, perkongsian, liabiliti terhad dan amanah yang tempoh perakaunan berakhir 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020, pula dilanjutkan dua bulan lagi.
“Kategori syarikat, koperasi, perkongsian liabiliti terhad dan badan amanah yang tempoh perakaunan berakhir 1 Januari hingga 31 Januari ini, dilanjutkan selama dua bulan lagi,” menurut kenyataan itu.
LHDN memaklumkan, bagi kategori petroleum yang tempoh perakaunan berakhir 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020 pula dan yang berakhir pada 1 Januari hingga 31 Januari ini turut dilanjutkan dalam tempoh dua bulan.
“Panduan lebih terperinci berkenaan dengan pengemukaan Borang Nyata Cukai ini berserta urusan percukaian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 boleh dirujuk di portal LHDN,” katanya. – Malaysiapost

