MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan kerajaan negeri tidak menindas pekebun-pekebun durian Musang King di Raub.
Sebaliknya, beliau menegaskan ia sekadar bertindak sebagaimana dibenarkan oleh undang-undang dan pekebun yang terbabit.
“Sewajarnya menjadi warga yang patuh undang-undang dengan mengosongkan tanah kerajaan yang mereka duduki secara haram selama ini.
“Oleh itu, kerajaan negeri berharap, kerjasama dapat diberikan oleh semua pihak terutamanya dalam kalangan petani-petani haram berkaitan penanaman durian Musang King di daerah Raub,” katanya menerusi satu kenyataan.
Wan Rosdy menjawab dakwaan bahawa kerajaan negeri terus bertegas tanpa kompromi dalam isu pekebun haram durian Musang King.
Menurut dakwaan tersebut, kerajaan negeri mengulangi ketegasan dan komitmen untuk bertindak tegas ke atas tanah-tanah diusahakan secara haram oleh pekebun durian Musang King di Raub, yang kini tertangguh ekoran keputusan Mahkamah Tinggi mengenainya baru-baru ini.
Sehubungan itu, seramai 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri, berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub.
Jelasnya, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz membenarkan agar pendengaran permohonan kebenaran oleh 111 pekebun haram di Raub pada 28 Ogos lalu bagi semakan kehakiman untuk membatalkan notis pengosongan tanah yang melibatkan kebun-kebun berkenaan yang dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, ditangguhkan sehingga 28 Oktober 2020.
“Sehingga permohonan tersebut didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, kerajaan negeri terpaksa menangguhkan buat sementara semua tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan berkenaan,” katanya.
Pada 1 Ogos lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak memaklumkan penerokaan tanah secara haram bagi penanaman durian menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah.
Susulan itu, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang menyatakan kerajaan negeri akan bertegas menangani isu penanaman durian haram di Raub kerana terdapat bukti pembukaan tanah haram terbabit terus bertambah di Sungai Ruan dan Sungai Chalit. -Malaysiapost

