Jika dipecat, saya duduk di kerusi Bebas- Osman Sapian

0
2

BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menyerahkan  kepada kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengenai status keahliannya dalam parti itu.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, beliau masih menyayangi BERSATU kerana sudah berjuang bersama parti berkenaan sejak dari peringkat awal dan tidak mempunyai apa-apa.

“Saya serahkan kepada kepimpinan (BERSATU) untuk buat keputusan. Mereka berkuasa.

“Saya masih ahli parti. Saya akan terima apa parti nak buat pada saya. Sebelum ini parti melantik saya jadi Menteri Besar, saya terima dan jalankan tugas. Jadi kalau parti nak ambil apa-apa tindakan, saya akan terima.

“Saya masih sayang BERSATU. Saya antara yang mula-mula memperjuangkan BERSATU di Johor daripada tidak ada ahli hingga tubuhkan cawangan, bahagian. Korban masa, tenaga bahkan wang ringgit sekali pun kerana ketika itu BERSATU tidak punya apa-apa,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan tindakan tegas akan diambil terhadapnya termasuk dipecat dari BERSATU, Osman yang juga Ketua Bahagian BERSATU Ayer Hitam berkata, beliau bersedia menerima apa saja kemungkinan.

“Saya masih ahli BERSATU melainkan sebelum 10 September ini (Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) saya dipecat dari parti, maka saya akan duduk di kerusi Bebas pula.

“Namun, jika tidak (dipecat), kerusi saya pada sidang DUN Johor minggu hadapan masih lagi di sebelah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir,” katanya.

Beliau berkata, jika kepemimpinan parti mengambil keputusan memecatnya akhirnya, dirinya masih tidak tahu tindakannya selepas ini.

“Sama ada nak sertai parti lain selepas itu, saya masih tidak tahu…Wallahualam,” katanya.

Menyentuh mengenai video tular dirinya berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika PRK DUN Slim baru-baru ini, beliau mengakui berbuat demikian.

“Salah ke tindakan saya berkempen untuk calon Bebas sedangkan BERSATU, belum diterima secara rasmi masuk ke dalam Muafakat Nasional (MN).

“Mana tahu selepas ini Amir Khusyairi terbuka menyertai BERSATU pula,” katanya.

Semalam, Bahagian BERSATU Pulai membuat kenyataan akan membuat aduan rasmi kepada lembaga disiplin parti berhubung tindakan Osman membantu kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian BERSATU Pulai, Ya’cob Atan, dilaporkan berkata aduan rasmi berkenaan akan dihantar minggu depan selepas mengadakan mesyuarat bahagian berkenaan pada Khamis ini. – Malaysiapost