MIDF tawar skim biayaan digital untuk PKS

0
1

Nurul Huda Abhar

MALAYSIA Industrial Development Finance Berhad (MIDF) melancarkan Skim Pembiayaan Mudah Alih Digital dan Teknologi sebagai usaha membantu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dalam tempoh pandemik Covid-19.

MIDF menerusi entiti perniagaannya, Development Finance Division (DFD) atau Divisyen Kewangan Pembangunan menawarkan skim tersebut untuk semua sektor dan bertujuan memupuk penggunaan teknologi digital dalam kalangan PKS.

Ketua DFD, Azizi Mustafa berkata , Skim Pembiayaan Mudah Digital dan Teknologi menawarkan pembiayaan sebanyak RM1 juta atau bantuan sehingga 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kos barangan yang terpilih.

Katanya, pembiayaan itu mencakupi yuran undang-undang selain menawarkan kadar faedah serendah empat peratus.

Ia bermatlamat untuk meningkatkan kebolehpasaran barangan tempatan PKS di peringkat nasional serta ke pasaran global, malah dapat menggalakkan PKS untuk mengadaptasi digitalisasi dan e-dagang.

“Usaha untuk menggalakkan usahawan menggunakan platfom digital dan atas talian merupakan kunci untuk kekal relevan. Perniagaan kita hari ini tidak hanya tertumpu kepada interaksi fizikal dan hanya menjadikan masyarakat tempatan sebagai kumpulan sasaran dalam perniagaan.

“PKS merupakan komponen penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Oleh itu, MIDF percaya skim yang diperkenalkan ini dapat membantu PKS untuk menyesuaikan diri dalam beralih kepada digital sejajar dengan perkembangan teknologi.

“Dengan ini para PKS akan lebih berdaya saing dalam mengembangkan perniagaan mereka sehingga menembusi pasaran antarabangsa dengan kos operasi yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jika ingin mendapatkan sebarang maklumat dan berminat mendapatkan skim ditawarkan boleh ke pejabat mereka, atau menghubungi Business Advisory Unit MIDF menerusi talian 1-300-88-6433 atau emel ke [email protected].

MIDF yang dimiliki sepenuhnya Permodalan Nasional Berhad merupakan sebuah institusi pembiayaan utama di Malaysia dan memainkan peranan penting mempercepatkan pembangunan dan permodenan industri pembuatan negara.

Kumpulan ini menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan yang kompetitif termasuk perbankan pelaburan, pembangunan kewangan dan juga pengurusan aset. – Malaysiapost