Nilam Oshman
SEBANYAK 2 lokaliti di Kota Belud, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 29 Jun hingga 12 Julai.
Perintah itu membabitkan Kampung Nahaba Tegudon dan Kampung Linau.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dua kawasan itu mencatatkan peningkatan kes dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
“PKPD dilaksanakan untuk memastikan penduduk berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan mereka.
“Pada masa sama, ia akan memudahkan tindakan kawalan dijalankan dengan cepat dan berkesan seterusnya menghalang penularan lanjut dalam kawasan terlibat serta ke komuniti luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan satu lokaliti di Kampung Penimbawan, Tuaran Sabah yang dijadualkan tamat PKPD esok, telah dilanjutkan bermula 29 Jun hingga 12 Julai.
“Ia selepas didapati masih terdapat penularan berterusan di kalangan penduduk dalam kawasan PKPD serta masih terdapat jangkitan baharu direkodkan,” katanya. – Malaysiapost

